SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mempertimbangkan untuk mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata perkara itu mengambil kira penggunaannya yang memberi kesan negatif kepada kesihatan dan kesejahteraan orang ramai, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
“Kementerian Kesihatan (KKM) minta haramkan terus, ia mungkin cadangan yang baik dan mungkin kita akan bawa perkara itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk sebarang perbincangan dan tindakan selanjutnya.
“Saya juga minta supaya penguatkuasaan ketat terhadap penjualan mushroom vape, itu yang paling penting untuk diselesaikan, sekarang macam-macam ada, rokok elektronik dan sebagainya, semua tak boleh rokok moden ke tak moden ke (beri kesan),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Aminuddin turut meminta supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membenarkan lesen untuk penjualannya pada masa ini, selain berharap PBT menyelaraskan dengan lebih terancang sekiranya ada papan tanda mengenai jualan produk itu.
“Kita memang tak benarkan jual, nanti kita akan semak dengan PBT berapa banyak kedai yang juga vape dan tengok tindakan yang perlu diambil...kadang-kadang penjual guna lesen jualan barangan lain pada masa sama mereka jual vape,” katanya.
Sementara itu Aminuddin berkata pihak berkaitan, perlu mencari punca dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar.
“Untuk pelajar, kita cari kenapa berlaku di sekolah, mana dia dapat, kita ada pegawai mesra sekolah, ini yang sepatutnya ambil tindakan, sepatutnya kita selesaikan punca sebenarnya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa negeri termasuk Terengganu dan Perlis, mengambil keputusan mengharamkan penjualan produk rokok elektronik atau vape.