KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dilaksanakan melalui Komuniti MADANI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu akan turut memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat.

“Program sedia ada di NADI telah disusun semula oleh MCMC dan ia berpandukan kepada lima teras iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

“Penyusunan semula ini bagi memperkasakan masyarakat selain memastikan capaian dan peluang sama rata untuk memenuhi keperluan khusus masyarakat setempat,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC inisiatif itu juga sebahagian daripada proses penambahbaikan fungsi NADI yang kini memfokuskan penyediaan capaian Internet secara kolektif, sebagai pusat penyebaran maklumat terkini dan tepat terutamanya bagi inisiatif kerajaan serta manfaatnya untuk rakyat.

“Setakat 30 Jun lepas, sebanyak 75 NADI telah beroperasi di Perak dan empat daripadanya ialah NADI baharu yang dibina di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan inisiatif perkhidmatan pintar ini hasil daripada Persidangan Pusat Ekonomi Digital MADANI yang dianjurkan pada 29 Nov 2023 dan merupakan perkhidmatan digital yang disediakan di semua NADI seluruh negara.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan NADI di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di Ipoh, Perak, hari ini.

Pada majlis tersebut, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kebiasaannya inisiatif itu akan memberikan manfaat kepada masyarakat di sekitar tiga atau empat kilometer dari pusat fizikal selain terdapat penglibatan bersama Jabatan Penerangan dan Komuniti MADANI.

Open Two Websites with Image

Clickable Image