GERIK: Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang maut dalam kemalangan tragis membabitkan bas sewa khas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di sini awal pagi tadi, selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Gerik petang ini.

Jenazah Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dibawa keluar dari Unit Forensik hospital berkenaan pada 6.25 petang setelah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Jenazah mereka dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing oleh van jenazah UPSI dan Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Terengganu dengan diiringi kenderaan polis.

Muhammad Aiman Hazman Halim, 32, berkata jenazah adiknya, Muhammad Adib Hazim, akan dibawa ke tanah perkuburan di Kampung Pasir Badak, Jertih, Terengganu manakala abang Wan Nur Suhaila iaitu Wan Muhammad Syam Wan Mohammad, 31, pula berkata jenazah adiknya akan dibawa ke tanah perkuburan di Kampung Amir, Besut, Terengganu.

Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam nahas membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB Banun, Gerik awal pagi tadi.

PKOD APM Hulu Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu dari Hospital Gerik pada 1.10 pagi.