JERTIH: Ibu kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Erika Alisya Mohd Zaidi yang cedera parah dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas, memohon orang ramai berdoa semoga anaknya segera sembuh seperti biasa.
Noorzailizan Zakaria@ Ariffin, 41, berkata anaknya yang cedera pada leher dan kedua-dua tangan kini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu selepas dipindahkan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabtu lepas.
“Keadaannya stabil dan menunjukkan perkembangan positif namun semua pergerakan perlu dibantu kerana kedua-dua belah tangannya tidak boleh digerakkan dengan baik ekoran patah pada banyak bahagian.
“Tangan kanan Nur Erika Alisya telah dimasukkan besi pada bahu, siku dan lengan manakala tangan kiri pula telah dimasukkan besi pada siku dan pergelangan tangan. Selain itu dia terpaksa memakai alat penyokong leher kerana tulang leher retak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Suri rumah yang tinggal di Kampung Alor Keladi di Hulu Besut itu berkata kini dia dan suami Mohd Zaidi Mohd Yunan, 45, yang bekerja sebagai pembantu tukang rumah bergilir menjaga anak sulung dari tiga beradik itu.
Menurutnya Nur Erika Alisya, 21, masih trauma dan sering teringatkan kejadian ngeri yang meragut nyawa 15 rakan kampusnya itu.
“Contohnya ketika menaiki ambulans dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus ke HSNZ pada Sabtu lepas, dia menangis ketakutan sepanjang jalan. Dia juga tidak boleh melihat kipas siling berpusing dengan kuat kerana akan terbayang kejadian itu,” katanya.
Sehubungan itu, Noorzailizan berharap anaknya yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam segera sembuh demi meneruskan cita-cita menjadi seorang ustazah.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti di Tanjung Malim, Perak terbalik sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di JRTB.
Nahas itu menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.