IPOH: Seorang lagi anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan pada Selasa lepas, dibenarkan keluar dari hospital semalam, menjadikan tujuh masih menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, dibenarkan keluar dari Hospital Teluk Intan (HTI) pada 9.30 malam, dan telah dibawa pulang ke rumahnya di Arau, Perlis.
“Keadaan mangsa tidak boleh duduk dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah menguruskan perkhidmatan ambulans swasta Medifa Care Ambulans Hilir Perak untuk membawa mangsa pulang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam Bakri memaklumkan tujuh anggota terlibat dirawat di HTI dengan tiga daripadanya kritikal dan tidak sedarkan diri di unit rawatan rapi (ICU) manakala seorang lagi yang kritikal menerima rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa lepas, sembilan anggota maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak pasukan dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam di sini.