GERIK: Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sedang melakukan siasatan terhadap sistem brek bas yang terlibat dalam nahas menyebabkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut di sini pada Isnin lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dakwaan pemandu bas terbabit yang menyatakan bahawa brek bas itu tidak berfungsi hanya boleh dibuktikan melalui ujian mekanikal yang dijalankan terhadap sistem brek kenderaan berkenaan.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan apabila pemandu mendakwa semasa kejadian berlaku, brek gagal berfungsi ... kita tidak boleh ambil secara luaran apa yang dikatakan pemandu, sama ada dia bercakap benar atau tidak.

“Jadi, laporan teknikal mungkin siap dalam masa sehari dua ini dan kita akan dapat buktikan (dakwaan pemandu bas),“ katanya selepas meninjau lokasi kemalangan dan keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Loke berkata selain siasatan terperinci melibatkan aspek pemandu dan jalan raya, kementerian akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) susulan tragedi terbabit.

Beliau berkata pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melakukan pelbagai penyelidikan termasuk simulasi pemanduan pada waktu malam bagi memberikan cadangan dalam usaha penambahbaikan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

“Punca kemalangan itu belum dikenal pasti lagi. Sama ada disebabkan faktor keadaan jalan ataupun faktor pemandu, kita sedang siasat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut meninjau lokasi kemalangan itu berkata KKR sedang menyediakan laporan mengenai Kerja Penilaian Keadaan Turapan (PCA) yang bertujuan memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan serta penurapan di JRTB Gerik-Jeli dalam masa terdekat.