KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas jalan raya membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.

Baginda berdua amat berdukacita atas pemergian kesemua mangsa dalam kemalangan tragis berkenaan dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga waris serta ahli keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda berdua turut mendoakan agar mangsa yang cedera dan masih dirawat dikurniakan kesembuhan serta kembali kuat meneruskan kehidupan mendatang.

Terdahulu, Bernama melaporkan 15 individu maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.