PUTRAJAYA: Bekas pegawai penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) R. Rajagopal, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dikenal pasti sebagai suspek dalam siasatan Bukit Aman terhadap dana kekayaan berdaulat tersebut.
Rajagopal yang merupakan bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, memberi keterangan perkara itu disebabkan adanya aliran masuk wang daripada 1MDB ke akaun bank peribadi Najib.
“Pada awalnya, bekas perdana menteri itu bukan suspek ketika siasatan bermula pada tahun 2015. Ketika itu masih terlalu awal kerana kami belum merekodkan kenyataan daripada ramai saksi, termasuk ahli lembaga pengarah dan pengurusan 1MDB,” kata saksi itu.
Saksi pembelaan ke-11 itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan Najib berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Rajagopal berkata Najib tidak didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah (CBT) yang berkaitan dengan 1MDB.
Ahmad Akram: Semasa anda mengambil kenyataan daripada saksi dalam kes ini, adakah ada yang menyebut nama Najib?
Rajagopal: Ya, beberapa saksi menyebut nama Najib berulang kali.
Rajagopal turut mengingat semula laporan awal polis dibuat bekas pemimpin UMNO Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang membawa kepada siasatan CBT.
Laporan itu berdasarkan pendedahan media mengenai isu tadbir urus di 1MDB, yang menyebabkan dana kekayaan berdaulat Malaysia itu menanggung hutang berbilion ringgit.
Pada 30 Okt tahun lepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, menghadapi 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung pada 7 April.