• 2025-10-13 08:20 PM

KAPIT: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap 29 keluarga dari Rumah Liun, Nanga Pangai, Sungai Ibau yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit menzahirkan rasa simpati terhadap penduduk terjejas itu.

Kerajaan turut menyediakan bantuan pembinaan semula rumah sebanyak RM70,000 untuk setiap keluarga terjejas.

Tragedi ini berlaku hanya dua minggu selepas kejadian serupa menimpa Rumah Austin Ekau, Nanga Sipan, Song pada 28 September lepas.

Nanta sepatutnya mempunyai komitmen lain di Kuala Lumpur dan bercadang kembali ke sana petang Ahad selepas melawat mangsa kebakaran di Rumah Austin Ekau.

Namun beliau dikejutkan dengan satu lagi bencana kebakaran di kawasannya yang melibatkan Rumah Liun, Nanga Pangai.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook rasminya.

Rumah Liun merupakan rumah separuh kekal yang terletak di kawasan paling hulu Sungai Ibau.

Perjalanan ke lokasi memerlukan penggunaan kenderaan pacuan empat roda serta perahu panjang.

Perjalanan ulang-alik ke lokasi mengambil masa sekitar tiga jam.

Nanta berharap penduduk Rumah Liun sentiasa bersabar dan tabah menghadapi ujian ini.

Beliau menggesa penduduk membuat perancangan terbaik untuk membina semula rumah baharu yang lebih selamat, kukuh dan cantik.

Beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat dan ADUN Katibas Lidam Assan akan membantu sedaya mampu bagi meringankan beban mangsa.

Beberapa agensi kerajaan, jabatan serta penduduk rumah panjang berhampiran juga tampil memberikan bantuan dan sumbangan.

Bantuan ini bertujuan membantu mangsa memulakan kehidupan baharu selepas bencana.

Nanta berharap dengan keprihatinan semua pihak, mangsa dapat memulakan langkah baharu selepas bencana ini. – Bernama