PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kini memasuki fasa akhir Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025 dengan tumpuan baharu terhadap usaha memperkukuh pencegahan kanser, pengesanan awal serta pembiayaan yang mampan.
Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2025 anjuran bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan Universiti Sunway selama tiga hari bermula hari ini selari dengan perancangan kementerian dalam merangka bab seterusnya pelan strategik kawalan kanser yang berteraskan data, terangkum dan berpandangan jauh.
“Kanser masih menjadi satu daripada cabaran paling mendesak dalam usaha kita membendung ‘pandemik’ penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2017-2021, lebih 169,000 kes kanser telah direkodkan, iaitu peningkatan sebanyak 47 peratus berbanding tempoh sebelumnya.
“Risiko seumur hidup untuk mendapat kanser juga telah meningkat kepada satu daripada lapan rakyat Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian NCCM 2025 di Sunway University di sini hari ini.
Dzulkefly berkata berikutan peningkatan ancaman kanser paru-paru, KKM telah melancarkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru semasa NCCM tahun lepas.
Beliau berkata Malaysia memimpin gerakan peringkat global dalam usaha mencegah kanser dan pengesanan awal melalui penyerahan resolusi kesihatan paru-paru pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke-78 (WHA78), yang turut disokong 15 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lain.
“Ini satu pencapaian bersejarah bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kesihatan awam sejagat. Ia mencerminkan keyakinan kita terhadap pendekatan menyeluruh di peringkat antarabangsa untuk kesihatan paru-paru yang menggabungkan pencegahan, inovasi digital dan berpaksikan rakyat.
“Pelaksanaan sudah bermula di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Kelantan dan Sabah. Kecerdasan Buatan (AI) kini digunakan untuk pemeriksaan X-ray dada di klinik kesihatan terpilih dan hospital kerajaan bagi tujuan tafsiran, meningkatkan ketepatan serta mempercepat pengesanan awal kanser paru-paru dan penyakit pernafasan lain,” katanya.
Dzulkefly turut memuji usaha NCSM melanjutkan inisiatif berkenaan melalui unit X-ray AI bergerak, yang membantu menjalankan saringan bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan pekerja di kawasan industri.
NCCM yang bermatlamat menangani cabaran mendesak berkaitan kanser di seluruh Asia Tenggara dan Asia Pasifik menerima kehadiran lebih 1,000 peserta termasuk delegasi antarabangsa dari Eropah dan Timur Tengah.