Negara menua: KKM sasar golongan muda derma darah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) kini memberikan tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai golongan muda untuk menderma darah memandangkan negara dijangka berdepan dengan realiti populasi menua menjelang 2040.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata menjelang tempoh itu, dianggarkan 15 peratus daripada penduduk Malaysia berusia lebih 65 tahun selain peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) yang turut memberi kesan kepada bilangan penderma sedia ada.

“Ramai penderma berulang kini tidak lagi layak menderma atas faktor umur atau kekangan kesihatan. (Justeru,) KKM akan terus mempergiat program pendidikan dan kesedaran, sambil memanfaatkan dapatan sains tingkah laku hasil kerjasama antara Pusat Darah Negara (PDN) dengan Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK).

“Kajian ini membantu kita memahami lebih baik faktor yang mendorong pendermaan berulang dalam kalangan rakyat. Hasilnya diterjemah kepada kempen yang lebih berkesan dan bakal menjadi asas kepada pembangunan Pelan Strategik Derma Darah Kebangsaan 2026-2030 yang akan dilancarkan pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 dan Sambutan Jubli Perak Pusat Darah Negara di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah PDN Dr Mohamad Masrin Md Zahrin serta 301 penderma darah dan penganjur kempen.

Pada majlis itu, empat individu, iaitu Liew Chin Yap, Liew Ship Boo, Ong See Kim dan Chin Jeck Leng, menerima anugerah Medal for Life kerana menderma darah lebih 500 kali sepanjang hayat mereka.

Dzulkefly berkata PDN memainkan peranan penting dalam membina ekosistem pendermaan yang lebih menyeluruh merangkumi sel stem dan organ, dengan lebih 10,000 unit darah tali pusat telah dianalisis sejak 2002 bagi memastikan proses pemindahan darah dan tisu dilakukan dengan selamat dan berkesan.

Beliau berkata setiap hari, sebanyak 2,000 beg darah diperlukan untuk merawat 1,000 pesakit dan pada tahun lepas sahaja, hampir 800,000 beg darah berjaya dikumpulkan, iaitu peningkatan 4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ini satu pencapaian yang amat membanggakan kerana setiap beg darah yang didermakan boleh menyelamatkan tiga nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM juga akan melancarkan Dasar Perkhidmatan Perubatan Transfusi Kebangsaan 2025 yang dirangka oleh PDN bersama pakar-pakar teknikal yang akan memberikan fokus kepada hala tuju strategik bagi memperkukuh tadbir urus, jaminan kualiti dan rantaian bekalan komponen darah di seluruh negara.

“Seiring dengan itu, Pelan Strategik Thalassemia 2024–2030 juga telah dilancarkan pada Mei lepas yang menyasarkan kadar pendermaan 3.5 peratus daripada populasi, dengan 65 peratus daripadanya ialah penderma berulang yang sihat,” katanya.