SERDANG: Negara memerlukan sekurang-kurangnya 6,000 veterinar bagi menampung keperluan industri termasuk dalam menambah baik kaedah pembakaan haiwan, berbanding 2,300 veterinar ketika ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Lokman Hakim Ali berkata Malaysia juga berhasrat untuk memenuhi nisbah seorang doktor haiwan kepada 5,000 penduduk (yang memiliki haiwan peliharaan/ternakan) berbanding seorang doktor haiwan kepada 14,000 penduduk ketika ini.

“Kita perlukan lebih kurang 6,000 veterinar lagi untuk membantu kita menjayakan aspirasi kemampanan dan keterjaminan makanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Veterinar Sedunia 2024 di Laman Ternakan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau berkata kekurangan veterinar antaranya disebabkan oleh peluang pendidikan ditawarkan dalam negara yang terhad.

Selain itu, katanya dua universiti tempatan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tidak mampu untuk menampung jumlah permohonan kursus veterinar yang mencecah 3,000 permohonan saban tahun.

Menurutnya UPM hanya mengeluarkan 140 hingga 150 graduan veterinar manakala UMK sekitar 40 veterinar setiap tahun.

“Sebab itu kita perlu dapatkan kerjasama kukuh di peringkat kementerian termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, universiti tempatan dan swasta...selain keperluan untuk beri pakej insentif atau yang mungkin setara dengan pegawai perubatan yang akan dapat tingkatkan penyertaan dalam industri ini,” katanya.

Sambutan Hari Veterinar bertemakan ‘veterinar ialah petugas kesihatan penting’ (Veterinarians Are Essential Health Workers) anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut dihadiri Ketua Pengarah DVS Dr Akma Ngah Hamid.

Pelbagai aktiviti seperti jualan produk peralatan agrikultur, makanan ternakan, pameran lembu sado dan pemeriksaan serta dandanan kucing diadakan sempena sambutan tersebut.

Info lanjut boleh diperolehi menerusi laman Facebook DVS https://www.facebook.com/veterinarmalaysia.