• 2025-07-31 05:44 PM

MERSING: Seorang nelayan warga Thailand yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas di Pulau Pemanggil ditemukan selamat di perairan Pulau Tioman, Pahang pagi tadi.

Pemangku Pengarah Maritim negeri Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil mengesahkan lelaki itu dikenali sebagai Wasan Thamuang, 33, ditemui nelayan tempatan pada pukul 8.40 pagi.

“Kejayaan ini hasil kerjasama erat antara agensi penguat kuasa dan komuniti nelayan tempatan yang memainkan peranan penting dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT),“ kata Kama Azri dalam kenyataan hari ini.

Mangsa dikatakan keluar bersendirian menggunakan vesel nelayan tempatan (VNT) pada Selasa (29 Julai) lepas dan hilang hubungan kira-kira 4.4 batu nautika dari timur Pulau Pemanggil.

“Kami merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi ini,“ tambahnya.

Sebarang kecemasan atau maklumat jenayah maritim boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – Bernama