COPENHAGEN: Rakyat Norway akan keluar mengundi pada Isnin bagi memilih parlimen baharu, dengan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Jonas Gahr Store dijangka mempunyai peluang cerah untuk sekali lagi meraih kemenangan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tinjauan menunjukkan blok berhaluan kiri berpotensi meraih majoriti tipis kerusi, manakala Parti Kemajuan, sebuah parti populis berhaluan kanan, diramal berada di tempat kedua.
Store, yang mengetuai kerajaan minoriti, dijangka memerlukan sokongan daripada parti berhaluan kiri lain di parlimen sekiranya Parti Buruh menang, namun perkara itu mungkin bergantung pada dasar iklim, antara isu utama semasa kempen.
Walaupun pengeluaran minyak dan gas terus menjadi sumber pendapatan terbesar negara, Parti Hijau (MDG) yang diramal memperoleh sekitar tujuh peratus undi dan mungkin menjadi tonggak penting dalam kerajaan Store seterusnya, mahu menghentikan aktiviti penerokaan – berbeza dengan pendirian Parti Buruh.
Sementara itu, rancangan kerajaan memperkenalkan had harga tenaga dijangka menjadi faktor penting dalam membantu Parti Buruh mencapai kemenangan.
Walaupun ekonomi Norway berada dalam keadaan baik berbanding negara Eropah lain, rakyat turut terkesan dengan peningkatan inflasi serta kemerosotan kuasa beli.
Walaupun Isnin merupakan hari rasmi pengundian, proses pengundian itu telah bermula pada Ahad dengan kira-kira 1.9 juta orang atau 47 peratus daripada penduduk menunaikan tanggungjawab mengundi awal.
Dengan kira-kira empat juta pengundi berdaftar yang layak, pemberian suara eksit dijangka diumumkan sejurus selepas pusat pengundian ditutup pada 9 malam (1900 GMT) - BERNAMA-dpa