• 2022-11-16 05:36 PM

KUALA LUMPUR: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menggesa rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam) supaya menghubungi bank mereka atau menelefon hotline 997 dengan segera bagi melindungi diri mereka daripada berterusan mengalami kerugian.

Menurutnya jika seseorang itu menyedari terdapat transaksi bank yang tidak mendapat kebenaran atau tidak diingini, dia harus segera menghubungi hotline bank atau hotline NSRC dengan mendail 997, yang boleh dihubungi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, termasuk cuti umum.

“Adalah penting untuk anda menghubungi bank anda atau 997 sebaik sahaja anda mendapati bahawa anda telah ditipu, bagi mengelak kerugian. Ini akan membolehkan bank memintas dana yang dicuri dan boleh membantu menyelamatkan wang anda, walaupun tiada jaminan anda akan mendapat kembali wang itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

NSRC berkata selain menghubungi bank atau hotline 997, individu yang tertipu perlu membuat laporan polis di balai berhampiran secepat mungkin, dan ia adalah penting bagi membolehkan pihak berkuasa segera melancarkan siasatan rasmi.

“Bagi tindakan pantas, anda harus menghubungi bank anda atau talian hotline NSRC sebelum membuat laporan polis,“ katanya.

NSRC adalah inisiatif bersama Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.

NSRC memfokuskan pada penipuan kewangan dalam talian - contohnya dalam keadaan mangsa melihat transaksi yang tidak dibenarkan pada akaun bank mereka, dan contohnya mangsa diperdaya untuk memindahkan dana secara dalam taling melalui perkhidmatan kewangan.

Ia mungkin melibatkan pelbagai kaedah penipuan, termasuk penipuan phishing (memancing data), Macau Scam, penipuan serangan malware, penipuan berhubung penghantaran bungkusan dan love scam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai NSRC, sila rujuk http://nfcc.jpm.gov.my/index.php/soalan/about-nsrc atau platform media sosial BNM. - Bernama