MAKKAH: Pada usia 24 tahun, Nur Fasihah Athirah Abdul Halim tidak menyangka akan bergelar tetamu Allah apatah lagi menunaikan ibadah haji secara bersendirian tahun ini, selepas keluarganya menunaikan rukun Islam kelima itu tahun lepas.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata peluang diperoleh itu merupakan satu nikmat besar dan menjadi bukti bahawa seruan haji boleh tiba lebih awal daripada yang disangka.
“Alhamdulillah, Allah menjemput saya menunaikan haji ketika masih muda. Memang benar, menunaikan haji pada usia muda sangat membantu kerana kita masih sihat dan mampu berjalan jauh, walaupun tetap meletihkan.
“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana jemaah lebih berusia mengharungi ibadah ini. Mereka sangat kuat dan tabah. Walaupun bukan mudah, saya bersyukur dan berasa lega apabila berjaya menyempurnakan rukun Islam kelima ini,“ katanya ketika ditemui di bangunan penginapan Abraj Al Janadriyah, baru-baru ini.
Anak bongsu daripada lima beradik yang kini menyertai program protege di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bangi berkata walaupun sesekali terasa sunyi ketika di Tanah Suci, namun pengalaman menunaikan haji secara solo memberinya ruang untuk bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Dekat Mina memang mencabar sebab semua orang ada kumpulan, saya sorang. Tapi saya gunakan masa tu untuk membaca al-Quran, beribadah, dan berdoa. Saya fikir, Allah bagi peluang ini untuk saya rapat dengan Dia,“ katanya yang menyifatkan cabaran fizikal di Mina sangat menguji ketahanan diri.
Menurut Nur Fasihah Athirah, ibunya telah mendaftar haji dengan Tabung Haji pada 2009, ketika dia baru berusia lapan tahun dan mula menabung untuk dirinya RM50 setiap bulan.
“Saya sangat terharu dengan pengorbanan mak dan ayah. Mereka daftarkan saya awal-awal. Walaupun saya pergi sendirian, tapi saya takkan lepaskan peluang ini. Terima kasih Mama dan Ayah,“ katanya.
Nur Fasihah Athirah yang pada awalnya tersenarai dalam kelompok M40 kemudiannya membuat permohonan semakan dan berjaya mendapat kelulusan dalam kategori B40, membolehkannya menunaikan haji di bawah program bantuan Tabung Haji.
“Saya bersyukur sangat dapat pergi ketika masih muda dan sihat. Ibadah ini sangat memerlukan tenaga, dan saya doakan ramai lagi anak muda diberi peluang sama,“ katanya yang turut mendoakan kejayaan rakan-rakan serta keselamatan semua jemaah haji Malaysia.