DUNGUN: Persatuan OKU Sentral semalam melancarkan DiveAbility, sebuah program perintis selam skuba yang bertempat di Tenggol Coral Beach Resort, Pulau Tenggol, di sini.
Menurut kenyataan Persatuan itu hari ini, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Eco District Association dan bertujuan memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) melalui pengalaman marin yang mencabar serta menyeronokkan.
Program DiveAbility diterajui bekas senator Datuk Ras Adiba Radzi serta disertai lima peserta OKU, termasuk atlet para kebangsaan Izhar Idham dan Roozaimi Johar.
“Program ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik utama seperti Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PPDA), Tenggol Coral Beach Resort, Como Conquest dan iLab,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan menampilkan sesi selam skuba secara langsung yang dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dan disokong pasukan sukarelawan terlatih, sekali gus memberi peluang kepada peserta OKU untuk meneroka dunia bawah laut dengan selamat dan yakin.
Selain aktiviti menyelam, beberapa inisiatif pemuliharaan turut dilaksanakan, antaranya penyingkiran jaring hantu, perlindungan terumbu karang serta pembersihan pantai.
Menurut kenyataan itu, DiveAbility juga berperanan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan yang mesra dan inklusif, di samping meningkatkan kesedaran umum mengenai keupayaan komuniti OKU dalam menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar yang bermakna.
“Dengan menjulang prinsip inklusiviti dalam pelancongan lasak, DiveAbility membuktikan bahawa aspek ketercapaian mampu membuka potensi ekonomi perak (silver economy), sekali gus merangsang pertumbuhan industri pelancongan Malaysia yang lebih mampan dan bertanggungjawab secara sosial.
“Program ini dijangka memberi kesan berpanjangan dalam menggalakkan keterangkuman sosial serta mentakrif semula peranan golongan OKU dalam pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar,” menurut kenyataan itu.