• 2025-06-27 09:09 PM

KUALA LUMPUR: Epal dan oren dikecualikan daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana buah-buahan berkenaan tidak boleh ditanam di Malaysia dan ramai rakyat Malaysia membelinya, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata epal dan oren merupakan juadah penting di atas meja makan semasa musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan sambutan Hari Raya, mencerminkan peranannya sebagai keperluan harian walaupun diimport.

“Buah-buahan ini tidak boleh dihasilkan di Malaysia kerana faktor iklim tetapi ia adalah sebahagian daripada buah-buahan dimakan hari-hari bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya semasa sesi TikTok Live Kementerian Kewangan bertajuk “SST Naik, Semua Harga Pun Naik?”, semalam.

Johan menjelaskan walaupun buah-buahan import tertentu seperti strawberi, beri biru dan avokado akan kekal dikenakan cukai di bawah peluasan SST, pengecualian untuk epal dan oren bertujuan untuk meringankan beban kewangan pengguna, memandangkan penggunaannya yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami mahu menggalakkan pengambilan buah-buahan tempatan tetapi pada masa sama, kami menyedari bahawa epal dan oren adalah antara buah-buahan penting dalam kehidupan seharian orang ramai,“ katanya.

Beliau berkata buah-buahan tempatan termasuk ‘pisang mas’ yang digunakan secara meluas, tidak tertakluk kepada SST, memastikan kestabilan harga untuk pengguna.

Sebanyak 90 peratus pisang yang dibeli oleh rakyat Malaysia adalah sumber tempatan manakala hanya 10 peratus diimport.

“Menyokong hasil tempatan membantu ekonomi dan memastikan harga berpatutan, harga makanan ringan popular seperti pisang goreng tidak akan terjejas di bawah skop peluasan cukai kecuali jika menggunakan pisang import.

Sementara itu, Johan berkata kerajaan akan mengekalkan kadar cukai sifar ke atas jongkong emas dan barang kemas dengan mengiktiraf kepentingan budaya dan peranannya dalam ekonomi tempatan.

“Emas sering digunakan dalam masyarakat untuk simpanan sebagai cagaran untuk pinjaman dan bagi urusan majlis perkahwinan dan melahirkan anak.

“Oleh itu, kami telah memutuskan untuk mengekalkan kadar cukai sifar kerana kepentingannya dalam masyarakat dan peranannya dalam ekonomi,” katanya.

Johan berkata kerajaan menyasarkan untuk menjana pendapatan tambahan RM10 bilion daripada kutipan SST.

“Kerajaan memilih untuk mengekalkan SST dan bukannya memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana SST meringankan beban pengguna,” katanya.