SHAH ALAM: Sebanyak 14 individu termasuk tiga wanita direman lima hari bermula pada hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang daftar kelahiran palsu.
Majistret Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah reman hingga 20 April terhadap kesemua suspek berumur antara 28 hingga 49 tahun itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kesemua suspek disiasat kerana disyaki membuat permohonan kad pengenalan dan sijil kelahiran anak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengandungi butiran palsu.
“(Permohonan) ini dibuat menerusi Borang Daftar Kelahiran yang mengandungi butiran matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi-bayi sedangkan tiada rekod kelahiran bayi terbabit di hospital-hospital terlibat. Perbuatan ini dilakukan mereka antara 2015 hingga 2023,” katanya.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara 12.30 tengah hari hingga 6.30 petang semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada Mac lepas, media melaporkan SPRM telah menahan 16 individu terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran.
Kesemua suspek berumur 20 hingga 70 tahun ditahan antara 11 pagi hingga 8 malam menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang serta Johor kerana disyaki menerima dan memberi rasuah, termasuk menyediakan serta mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu sejak 2013 hingga 2018 dan 2023 hingga 2025.