SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 255 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai kira-kira RM67,365.60 dalam Op Gasak yang dijalankan bermula 1 Mei hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata pemeriksaan dijalankan terhadap 25 premis sekitar negeri ini melibatkan pemborong, pengedar, peruncit dan juga pihak industri bagi mengesan sebarang penyelewengan.
“Menerusi operasi berkenaan, sebanyak lima kertas siasatan dibuka dan seorang lelaki ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
“KPDN terus memperkukuh peranan penguatkuasaan melalui pendekatan bersasar, berasaskan data serta berorientasikan pendidikan pengguna dan peniaga,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Veerapan berkata Op Gasak bertujuan menguatkuasakan peraturan sedia ada bagi memastikan subsidi yang diberikan kerajaan sampai kepada golongan sasaran.
Veerapan berkata ketirisan subsidi LPG menyebabkan implikasi kewangan yang besar kepada negara dengan anggaran kerugian mencecah RM3 bilion setahun.
“Rakyat perlu menjadi pengguna lebih berinformasi, bertanggungjawab dan dilindungi. KPDN menyeru seluruh rakyat untuk terus menjadi rakan strategik dalam membanteras salah laku perdagangan serta menyokong usaha kerajaan mewujudkan ekosistem perniagaan adil, mampan dan berdaya tahan,“ katanya.