IPOH: Radius operasi pencarian dua remaja berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak berdekatan Kampung Terpus, di Parit semalam, akan diperluaskan hingga lima kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi diteruskan 9 pagi tadi melibatkan 25 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Pangkor, Seri Iskandar dan Kuala Kangsar serta polis dan penduduk sekitar.
“Operasi bermula di tempat kedua-dua mangsa jatuh dan kita akan tempatkan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Pangkor.
“Menghala ke arah hilir sungai pula, kita akan gerakkan anggota menggunakan bot aliminium sedia ada termasuk dengan bantuan bot penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, JBPM Perak dalam kenyataan memaklumkan dua remaja dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muhammad Shah, Parit itu dikhuatiri lemas selepas cuba mengambil bola yang terjatuh dalam sungai berkenaan.
Bomba menerima laporan kejadian berkenaan pada 4.21 petang daripada orang awam.
Sementara itu, Sabarodzi berharap operasi yang dilakukan hari ini berjalan lancar meskipun cuaca mendung serta arus sungai agak deras.
“Kita tak boleh nak buat jangkaan (jumpa mangsa) namun dengan kekuatan yang kita ada dibantu penduduk kampung, saya harap operasi ini akan berjalan lancar,” katanya.