CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua lagi mangsa bot karam di perairan Kemaman akan disambung 7 pagi esok.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata operasi pencarian hari pertama yang meliputi kawasan seluas 153 batu nautika ditangguhkan 7 petang tadi.
Beliau berkata ia melibatkan empat sektor pencarian yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Alhamdulillah hari ini seorang daripada tiga mangsa yang hilang berjaya ditemui.
“Kita masih menunggu arahan daripada Maritime Rescue Sub Coordination (MRSC) Kuantan sama ada untuk memperluaskan atau mengekalkan sektor pencarian,“ katanya ketika ditemui di Jeti Haji Pa Kuala Kemaman di sini.
Muhammad Faisal berkata pihaknya percaya dua lagi mangsa yang hilang masih berada dalam lokasi pencarian.