KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami kelewatan awal pagi tadi akibat gangguan suis landasan, kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 11.10 pagi tadi.

Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan kejuruteraannya selesai menjalankan kerja-kerja baik pulih peringkat awal pada pukul 10.56 pagi sebelum ujian ke atas sistem dan komponen landasan dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan selamat untuk digunakan.

“Pasukan kejuruteraan dan operasi akan terus memantau perjalanan tren sepanjang waktu operasi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.

“Kerja baik pulih sepenuhnya akan dilakukan selepas operasi tamat bagi mengurangkan gangguan kepada penumpang. Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca gangguan dan mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut merakamkan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Terdahulu, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan bermula pukul 5.30 pagi susulan gangguan suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar, menyebabkan tren dari arah Pasar Seni ke Bangsar menuju ke Putra Heights terpaksa dikendalikan secara manual.