TEMERLOH: Kerajaan Negeri Pahang terus berusaha memperluas peluang pekerjaan dengan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, menurut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata pertumbuhan pelaburan dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekaligus memberi ruang kepada anak negeri yang bekerja di luar untuk kembali berkhidmat di Pahang.
“Kita ingin menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan supaya mereka boleh pulang bekerja di Pahang. Walaupun bekerja di negeri orang, jika ada tawaran lebih baik, mereka sanggup kembali,“ katanya selepas Karnival Asyura Peringkat Pahang 1447 Hijrah di Surau Kampung Paya Laman, Lanchang.
Karnival anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) itu menampilkan pertandingan memasak bubur asyura dengan penyertaan 33 pasukan, bertujuan memupuk semangat gotong-royong dan budaya berkongsi rezeki.
Seramai 46 jemaah haji yang lewat menerima surat tawaran tahun ini turut diraikan menerusi Inisiatif Makmur Pahang, dengan setiap seorang menerima wang tunai RM750 di bawah Program Baraqah Haji Pahang.
Wan Rosdy turut menyatakan kerajaan negeri komited meningkatkan KDNK dan menarik pelaburan baharu, yang telah mencecah RM4 bilion setakat Jun tahun ini.
Mengenai pengumuman penghargaan luar biasa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar, beliau berharap berita baik itu turut dinikmati rakyat Pahang.
“Perdana Menteri menyatakan ia satu pengumuman baik. Kita tunggu sahaja, tiada siapa yang tahu sekarang,“ katanya. - Bernama