KUANTAN: Usaha mengekalkan jaringan sinergi antara Tourism Pahang dengan semua agensi luar yang terlibat mempromosikan pelancongan amat penting bagi memastikan peningkatan kedatangan pelancong ke Pahang, sekali gus memberi lebih banyak pendapatan kepada negeri ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata gandingan kedua-dua pihak memainkan peranan begitu besar dan ia perlu terus konsisten dan komited dalam mengekalkan Pahang menjadi destinasi pelancongan terbaik di negara ini.

“Di Pahang, kita memiliki semua lokasi menarik yang indah untuk dilawati pelancong seperti pulau dan pasir pantai yang memutih, gunung, hutan rimba menghijau serta salah satunya tempat sejuk di negara ini iaitu Cameron Highlands.

“Justeru, kita amat memerlukan para pemain industri pelancongan, pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media untuk membantu menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan terbaik di Malaysia dan dunia,“ katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan Pelancongan Pahang 2024 di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Wan Rosdy yang dinobatkan sebagai Pahang State Icon of Tourism pada Malam Anugerah Industri Pelancongan baru-baru ini telah diraikan, selain penghargaan diberikan kepada para penggiat sektor pelancongan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan media atas usaha mereka mempromosikan pelancongan Pahang.

Wan Rosdy berkata usaha menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara menerusi penganjuran pelbagai program juga perlu diperkasakan selari dengan menjelangnya Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pelancongan menyumbang pendapatan yang besar kepada negara dan negeri Pahang, segala usaha ini perlu dilakukan dalam jangka masa panjang untuk menikmati hasilnya,“ katanya.