PUTRAJAYA: Pakej Rahmah Prabayar Siswa yang diumumkan Kementerian Komunikasi semalam, membuktikan bahawa kerajaan dan pihak terlibat sentiasa cakna dan prihatin untuk membantu mengurangkan beban mahasiswa.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pengumuman itu dan merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi terlibat dan semua pihak atas inisiatif berkenaan.

“Kerjasama strategik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar mendapatkan liputan komunikasi dan Internet lebih baik semasa sesi pengajian dan pembelajaran,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata dalam pakej yang ditawarkan pada harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari itu, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang pembayaran, tetapi syarikat telekomunikasi bermurah hati untuk mengurangkan caj kepada mahasiswa.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa ditawarkan khusus kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.

Pakej itu boleh dilanggan bermula 16 Ogos nanti menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).