Your Title

KUALA LUMPUR: Prestasi sektor agromakanan yang meliputi sektor pertanian, pembuatan serta perkhidmatan berkembang sebanyak 0.3 peratus kepada RM43.3 bilion pada suku pertama 2024 susulan keberkesanan strategi dalam mengurus sistem bekalan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata nilai tambah itu memberi sumbangan signifikan iaitu sebanyak 10.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Prestasi ketiga-tiga sektor agromakanan merekodkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 1.6 peratus bagi sektor pertanian, 0.5 peratus bagi sektor pembuatan dan 3.9 peratus bagi sektor perkhidmatan,“ katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu tentang keberkesanan strategi untuk mengurus dan cara meningkatkan sistem bekalan makanan Malaysia termasuk pemantauan keselamatan makanan, pengurusan sisa makanan dan peningkatan produk makanan tempatan.

Arthur berkata antara strategi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta agromakanan dan produk makanan tempatan adalah dengan memperluaskan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan memperkasa industri akuakultur.

Katanya, selain itu KPKM turut memperkukuh industri lembu pedaging dan mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

“Bagi pemantauan keselamatan makanan, Kementerian Kesihatan bertindak sebagai pihak berkuasa yang berkompeten, dan pihak berkuasa pengawalseliaan, dan antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Jaminan Keselamatan Makanan, mengiktiraf makanan organik dan memastikan produk selamat.

“Di peringkat ladang, KPKM melalui jabatan dan agensinya telah melaksanakan pengendalian kehilangan lepas tuai seperti memastikan pengurusan padi lebih komprehensif dan meningkatkan kebolehpasaran dan mengurangkan kehilangan lepas tuai hasilan segar,“ katanya.