TEMERLOH: PAS menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan syarikat yang didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama susulan serbuan ke atas 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu baru-baru ini.

Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata walaupun beberapa pihak antarabangsa mengaitkan PAS dengan syarikat berkenaan namun beliau menegaskan perkara itu tidak benar kerana tiada ahli PAS yang terlibat.

“Tak ada hubungan dengan kita langsung, walaupun beberapa pihak antarabangsa mengaitkan (PAS) itu satu berita tidak betul dan salah ... bukan ahli dan tak ada kaitan dengan kita,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur Kerdau di sini hari ini.

Ditanya mengenai syarikat itu ‘menggunakan’ agama untuk menjalankan kegiatan mereka, Abdul Hadi berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung isu berkenaan.

Menerusi Op Global baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata seramai 171 individu ditahan selepas 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan diserbu bagi membantu siasatan kes atas sebuah syarikat.

Razarudin dilaporkan berkata seramai 402 orang masing-masing 201 individu lelaki dan wanita berumur setahun hingga 17 tahun telah diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.