KUALA LUMPUR: Pasukan boling remaja negara mencipta sejarah dengan muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 di Doha, Qatar. Mereka menambah tiga lagi pingat emas semalam, menjadikan koleksi keseluruhan lima emas dan empat gangsa.
Dalam acara berpasukan wanita, Malaysia yang dianggotai Qurratu’ain Izdihar Pozi, Adelia Nur Syazalee, Intan Nor Azliman, dan Natalie Chong meraih emas selepas mencatat 4,775 jatuhan pin. Taiwan meraih perak (4,563 pin), manakala pasukan Malaysia B (Nursyarafana Amri, Nurul Dayana Suhaidan, Helena Jamal, Balqis Nurdini Khairul) mendapat gangsa (4,456 pin).
Bagi acara berpasukan lelaki, Malaysia yang diwakili Sayed Abdullah, Hafiz Azhlan, Muhammad Aqil Faizal, dan Wan Muhammad Zarif Mazlan menang tipis ke atas Kuwait dengan 5,198 jatuhan pin. Qatar menduduki tempat ketiga (5,052 pin).
Qurratu’ain terus gemilang dengan meraih emas keempat peribadi sebagai juara keseluruhan individu wanita (3,805 pin). Huang Hsin Teng (Taiwan) di tempat kedua (3,559 pin), diikuti Intan (3,555 pin).
Dalam kategori keseluruhan lelaki, Aqil meraih gangsa (3,921 pin), di belakang Nasser Alkandari (Kuwait, 4,037 pin) dan Abdulrahman Al Doseri (Qatar, 3,960 pin) - Bernama