KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di daerah Sagaing, Myanmar bagi mememulakan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan perjalanan pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) itu tiba di kawasan tersebut selepas melalui perjalanan hampir 24 jam dengan bantuan serta iringan polis.
“Setibanya di lokasi pengoperasian, pasukan mendirikan Pusat Operasi (BoO) bagi melancarkan misi bantuan.
“Kontinjen Komander turut mengadakan menyuarat Local Emergency Management Authorities (LEMA) yang diwakili oleh pegawai daerah, U Myaw Swar Maung Soe,“ menurut kenyataan itu yang dikongsikan di Facebook SMART, hari ini.
Semalam Bernama melaporkan 50 anggota dan pegawai pasukan SMART berlepas ke Naypyidaw, Myanmar menggunakan dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu.
Pesawat pertama tiba pada 11.36 pagi semalam manakala pesawat kedua tiba pada 2 petang selain turut membawa pasukan di bawah NADMA serta peralatan mencari dan menyelamat (SAR) dengan kesemua mereka melalui jalan darat ke lokasi operasi, yang mengambil masa kira-kira lapan jam.
Pasukan yang diketuai komander kontinjen PgKB I Mohamad Hafiezul Abdul Halim terdiri daripada 16 wakil Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (13) dan JBPM (21).
Jumaat lepas, gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain, turut menjejaskan negara jiran Thailand dengan jumlah korban di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.