LABUAN: PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah mengambil langkah untuk memupuk sikap bertanggungjawab dalam pengurusan sisa dan kelestarian menerusi inisiatifnya yang memfokuskan kepada prinsip 3R - mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula.

Be Green yang mulakan pada 2013, merupakan salah satu program impak sosial utama PCG yang menyasarkan untuk mewujudkan impak positif kepada masyarakat menerusi pendidikan dan aktiviti kitar semula secara kolaboratif.

Menerusi program itu baru-baru ini, PCG telah menganjurkan pertandingan pengurusan sisa di Labuan yang menyaksikan penyertaan empat sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, SMK Taman Perumahan Bedaun, Sekolah Menengah (SM) St. Anne dan SM St. Anthony.

Pertandingan terbahagi kepada tiga kategori iaitu jumlah sisa terbanyak, produk paling inovatif daripada sisa kitar semula dan video terbaik aktiviti kelestarian sekolah, yang dianjurkan Chemicals Methanol Sdn Bhd (PC Methanol) PETRONAS iaitu anak syarikat PCG, dengan kerjasama Perbadanan Labuan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendidikan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PC Methanol Hiffani M Jalil berkata PCG bekerjasama dengan sekolah tempatan dan komuniti dalam kawasan mereka beroperasi, bagi mempromosikan perinsip pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

“Dengan peningkatan kesedaran impak sisa terhadap persekitaran, PCG mengiktiraf kepentingan untuk pengurangan pengeluaran sisa.

Prinsip 3R merupakan satu pendekatan menguruskan sisa dengan efektif dan lestari dan syarikat telah menjadikannya keutamaan untuk menerapkan amalan ini dalam komuniti.

“Be Green merupakan program impak sosial utama PCG, menyasarkan untuk memupuk perubahan positif dalam masyarakat menerusi pendidikan dan inisiatif kitar semula secara bersama, dengan menggalakkan pengurusan sisa yang bertanggungjawab dan mengamalkan prinsip 3R iaitu mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula,” katanya.

Program itu melaksanakan aktiviti seperti pertandingan pengurusan sisa, yang mendidik pelajar kepentingan mengurangkan sisa dan mengurangkan impak terhadap persekitaran.

Ia juga diteruskan dengan mengadakan program ‘out-reach’ menerusi inisiatif pembersihan dan kempen kesedaran yang bertujuan menggalakkan amalan pelupusan sisa bertanggungjawab dan kitar semula.

Hifani berkata PCG akan secara aktif menyokong dan membolehkan inisiatif kitar semula di kawasan setempat, menggalakkan pengasingan sisa boleh kitar semula daripada sisa lain dan menyokong kaedah pelupusan yang bertanggungjawab.

“Sepanjang pertandingan pengurusan sisa Be Green yang melibatkan sekolah di sini, kami berjaya mengumpul 5,200 kilogram (kg) sisa yang boleh dikitar semula, termasuk lebih 3,800kg sisa kertas, lebih 720kg besi, lebih 507kg plastik dan lebih 106kg aluminium,” kata beliau.

Peserta pertandingan juga ajarkan modul Plastic, Sustainability & You Education (PSYE) yang memfokuskan kepada pengurusan plastik yang bertanggungjawab dan kepentingan kitaran plastik.

Modul PSYE yang dibangunkan PCG dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan rakan kongsi lain pada 2019, telah disebarkan kepada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada sesi itu, modul itu dikongsi kepada empat sekolah yang mengambil bahagian dan diajar kepada pelajar.

Hiffani berkata PCG sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan sekolah dan komuniti tempatan, untuk membangunkan penyelesaian inovatif untuk pengurusan sisa.

“Kami mahu memperluaskan program Be Green ke lebih banyak sekolah untuk mendidik generasi akan datang tentang pelupusan sisa yang bertanggungjawab, dan saya gembira kerana melalui pertandingan itu, kami menyaksikan komitmen ke arah mewujudkan pendekatan inovatif dalam pengurusan sisa,” katanya.

Hifani berkata inisiatif PCG bertujuan untuk memupuk rasa penjagaan alam sekitar dalam komuniti dan menyokong usaha pengaktifan impak sosial PETRONAS terhadap alam sekitar.

“Ia menunjukkan dedikasi syarikat untuk mencipta impak sosial yang positif dan komitmennya terhadap kesejahteraan alam sekitar dan penduduk yang tinggal di kawasan tempat mereka beroperasi,” katanya.–Bernama