KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti dan mengambil tindakan segera untuk memantapkan serta menyelaras aspek siasatan dan pendakwaan kes-kes jenayah dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara yang diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

“Jenayah dalam talian ini terutama scam, buli siber dan jenayah seksual kepada kanak-kanak meninggalkan kesan mendalam sama ada dari aspek kesihatan mental, dan juga masalah-masalah lain, ia antara sebab kenapa kita putuskan perkara ini,“ katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata isu jenayah dalam talian, masalah scam dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam negara tidak boleh dibenarkan terus berlarutan dan susulan itu, MCMC telah mengeluarkan surat arahan kepada sejumlah platform media sosial untuk mendapatkan maklum balas berkaitan.

Fahmi berkata berdasarkan pemantauan MCMC, setiap platform media sosial juga mempunyai tahap pematuhan yang berbeza, dengan ada yang lebih pantas dan akur, ada yang langsung tidak akur, dan sangat lewat untuk menjawab pihak berkuasa.

Beliau berkata Instagram mempunyai kadar pematuhan 88 peratus diikuti Facebook (85 peratus), WhatsApp (79 peratus), TikTok (76 peratus), Telegram (65 peratus) dan yang paling rendah platform X dengan 25 peratus.

“Setiap platform ini pula ada masalah jenayah dalam talian atau kandungan yang boleh membahayakan keselamatan rakyat,” katanya.

Antara kandungan berbahaya dan berunsur penipuan dalam Facebook termasuk judi dalam talian dan Kecerdasan Buatan yang memudaratkan, TikTok (buli siber, akaun palsu, 3R atau ‘agama, raja dan kaum’), Telegram (3R, judi dalam talian, filem cetak rompak, pornografi kanak-kanak) manakala di X meliputi kandungan 3R, buli siber dan pengantunan seksual kanak-kanak.

Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata bagi separuh pertama 2024, platform Facebook sahaja mencatatkan RM8 juta hingga RM132 juta kerugian akibat penipuan dalam talian.

“Ia bermakna masalah besar Facebook ini ialah bagaimana platform ini terus disalahgunakan oleh sejumlah penjenayah untuk memangsakan rakyat dan mencuri wang simpanan,” katanya.

Beliau menjelaskan antara fungsi MCMC adalah mengamati kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan menghubungi pihak penyedia platform media sosial untuk menurunkan kandungan berkenaan, namun keputusan akhir terletak pada platform itu sama ada akan menurunkan kandungan itu atau tidak.

“Kita rujuk kepada undang-undang negara kita, tapi bagi platform (media sosial) mereka akan rujuk kepada garis panduan komuniti. Jadi di situ ada beza pandangan, tapi yang penting kenapa saya sebut beza antara tahap pematuhan itu, ialah untuk tunjukkan ada platform sedia beri kerjasama dan ada sangat tidak memuaskan,” katanya.

Mengenai lawatan tiga hari ke Singapura bermula Ahad ini, Fahmi berkata beliau akan berjumpa dengan pihak penyedia platform media sosial, sekali gus menyatakan pendirian kerajaan berhubung kandungan dalam talian.

Beliau berkata ada sejumlah isu yang berbangkit, dan beliau akan meminta semua platform media sosial memberi komitmen terhadap permasalahan yang membelenggu rakyat ketika ini dalam aspek jenayah dalam talian.

“Di Facebook, beratus juta ringgit boleh dicuri menerusi scam, jadi bagi kami walaupun kadar pematuhan tinggi (di Facebook) tapi secara keseluruhan jumlah scam yang berlaku dalam Facebook terlalu banyak. Sejak awal tahun hingga dua hari lepas, jumlah aduan sudah mencecah 100,000 disampaikan MCMC kepada Facebook, kepada Meta untuk turunkan kandungan berbentuk scam.

“Kita lihat Meta perlu ambil tindakan lebih proaktif menggunakan AI, mematikan usaha pihak yang menyalah guna platform di bawah Meta untuk tujuan scam terutamanya,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada pemberian sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Fahmi berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan memberi maklum balas mengenainya.

“Isu tersebut ada dibincangkan dan diputuskan, Menteri Pendidikan akan jawab nanti,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan sebuah SJKC di Sepang, Selangor baru-baru ini menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.