TAIPING: Sebanyak RM17.48 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan infrastruktur di sini menerusi siri jelajah Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2.0.

Taiping merupakan lokasi pertama siri jelajah itu bagi tahun ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata projek terlibat termasuk naik taraf Pasar Taiping sebagai Pasar Warisan dengan dana RM5.2 juta, projek di bawah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) (RM5.014 juta) dan pembinaan Taman Awam Kamunting (RM3.3 juta).

“Turut termasuk ialah pembinaan baharu Balai Bomba dan Penyelamat Simpang dengan peruntukan sebanyak RM300,000, program Rumah Mesra Rakyat (RM75,000) dan penyelenggaraan lapan buah rumah ibadat bukan Islam sebanyak lebih RM830,000,” katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Sementara Tupai di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh dan Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir.

Sementara itu, Nga berkata sepanjang setahun (2023) pelaksanaan program Sentuhan Kasih KPKT di seluruh negara yang berakhir di Sabah semalam, kementerian itu telah berjaya menyempurnakan 5,196 projek melibatkan peruntukan RM700 juta.

Beliau turut meninjau Plaza Perbandaran Taiping, Taman Rekreasi MADANI Taman Tasik Taiping, projek pemasangan lampu limpah di Padang Esplanade selain merasmikan tandas awam bertaraf ‘Bersih, Menawan dan Wangi’ (BMW) di Bukit Larut.