KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan latihan simulasi keselamatan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 23 Mei ini, bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan.
Tinjauan Bernama mendapati simulasi itu melibatkan pergerakan konvoi kenderaan delegasi dan pemimpin negara, yang dijalankan mengikut waktu sebenar termasuk penugasan anggota secara bergilir selama 24 jam sejak awal minggu ini hingga 30 Mei.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman DCP M.V Sri Kumar berkata lebih 6,200 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang tempoh sidang berlangsung, dan jumlah itu dijangka meningkat mengikut keperluan semasa.
“Selain kawalan laluan, anggota turut ditempatkan bagi memantau pergerakan dan keselamatan termasuk aspek pengesanan logam serta pengecaman wajah,” katanya ketika ditemui semasa latihan simulasi di KLCC.
Beliau berkata orang awam perlu memahami kepentingan acara bertaraf antarabangsa ini dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Kita hanya akan menutup jalan secara berperingkat selama seminggu bagi memastikan kelancaran dan keselamatan persidangan ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan yang tidak perlu, khususnya di sekitar ibu negara.
Sidang Kemuncak ASEAN akan bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan pada 23 Mei, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, dan mesyuarat ketua-ketua kerajaan pada 26 Mei.
Tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ diangkat sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global. Komitmen Malaysia adalah untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Susulan itu, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di ibu negara akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat sepanjang tempoh persidangan.