• 2025-09-29 04:40 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia kontinjen Kuala Lumpur akan memulakan tindakan saman serta-merta kepada pesalah lalu lintas pada 1 Oktober menerusi Op Patuh Undang-undang selepas kira-kira sebulan melaksanakan fasa advokasi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata fasa penguatkuasaan itu akan dilaksanakan berterusan tanpa mengira waktu di seluruh ibu negara bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang.

Beliau menegaskan program penguatkuasaan ini tidak akan berlangsung dua atau tiga minggu sahaja tetapi diteruskan sepanjang tahun selama 24 jam di seluruh Kuala Lumpur.

Fadil berkata fasa advokasi Op PUU yang bermula pada 6 September merupakan inisiatif PDRM untuk memberi kesedaran secara menyeluruh kepada masyarakat mengenai kepentingan mematuhi undang-undang lalu lintas tanpa mengeluarkan saman sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.

Beliau menjelaskan langkah itu diambil sebagai pendekatan lebih positif untuk mendidik dan membina hubungan baik dengan masyarakat berbanding tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif.

Dalam tempoh kurang sebulan sejak program itu dilancarkan hampir 70,000 notis advokasi telah dikeluarkan di beberapa kawasan tumpuan utama di ibu negara.

Antara kesalahan lalu lintas paling kerap ialah menyebabkan gangguan lalu lintas meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan melanggar garisan putih dan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.

Kesalahan kecil seperti tidak memakai atau mengikat tali topi keledar dengan betul juga sering berlaku. – Bernama