KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memberi sumbangan sebanyak 100 unit alat bantuan perubatan kepada Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ia terdiri daripada 80 unit MDI Spacer (Aerochamber Plus Flow-vu Antistatic) dan 20 lagi alat bantu rangka jalan atau Mobilis Rised Up Walking Frame.
“Kita sampaikan sumbangan ini atas rasa tanggungjawab dan tanda keprihatinan pasukan untuk kemudahan ‘pejuang cilik’ sepanjang menerima rawatan di hospital ini.
“Mengambil inspirasi daripada rukun Ihsan yang menjadi teras Malaysia Madani serta sejajar tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, PDRM komited menzahirkan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat menerusi program kebajikan seumpama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya ketika Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-218 di hospital berkenaan yang dijayakan Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik(JSPT) selaku penganjur terpilih tahun ini untuk meneruskan kolaborasi bersama HPKK UKM.
Turut hadir Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Timbalan Pengarah (Surgeri) HPKK UKM Prof Madya Datuk Dr Abdul Halim Abd Rashid.