IPOH: Seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah menengah dalam kejadian langgar sehingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, memfailkan permohonan jaminan agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan kesnya.

Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat DSP, memfailkan permohonan itu pada 3 Mei lepas di Mahkamah Tinggi di sini melalui peguamnya.

Peguam Jacky Loi Yap Loong yang mewakili Mohd Nazri ketika dihubungi memberitahu bahawa permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, semasa sebutan kes itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preetdi menetapkan 1 Ogos ini bagi sebutan semula permohonan jaminan terbabit dan turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan masing-masing.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen.

Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Yasmin Khalid.

Pada 14 Mei lepas, Mohd Nazri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, dan Hakim Bhupindar Singh menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari bermula 4 Nov ini hingga 17 Jan tahun depan.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.