• 2025-06-25 10:00 PM

GEORGE TOWN: Seorang pegawai kewangan syarikat perundingan mengalami kerugian besar mencecah RM4.17 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, mangsa berusia 60 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

“Mangsa melihat iklan pelaburan saham di Facebook pada awal Mac lalu dan mengklik pautan yang disediakan. Selepas itu, dia berkomunikasi dengan seorang suspek wanita melalui WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan,” jelas Hamzah.

Suspek dikatakan menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat dan meminta mangsa memuat turun aplikasi tertentu untuk mendaftar serta melabur. Mangsa kemudian melakukan 76 transaksi ke lapan akaun bank berbeza, berjumlah RM4.17 juta dari 10 Mac hingga 13 Jun.