Your Title

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai penguat kuasa direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta rasuah kira-kira RM5,000 daripada seorang wanita, awal bulan ini.

Perintah reman hingga Isnin ini terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta wang suapan itu sebagai balasan untuk tidak meneruskan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan yang dihadapi wanita terbabit.

“Suspek ditahan kira-kira 3 petang semalam di pejabatnya di Dungun,” menurut sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.