KOTA BHARU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta rasuah RM10,000 daripada keluarga mangsa kes rogol.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di pejabatnya di Jeli petang semalam selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menerima aduan daripada seorang wanita.

“Suspek dipercayai meminta wang tersebut sebagai sogokan untuk menutup kes rogol yang melibatkan anak perempuan wanita terbabit, yang kejadian itu difahamkan masih belum dilaporkan secara rasmi.

“Penahanan dilakukan sejurus selepas laporan polis dibuat oleh wanita itu,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.