• 2025-07-03 10:28 PM

KOTA BHARU: Bermula Januari 2026, pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang obes atau gagal memenuhi Indeks Jisim Badan (BMI) yang ditetapkan tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata langkah ini diambil bagi memastikan kecergasan dan keterampilan warga SPRM sentiasa berada pada tahap terbaik.

Azam Baki menekankan bahawa obesiti bukan sahaja menjejaskan prestasi kerja tetapi juga membawa risiko penyakit.

“Bayangkan kalau pegawai kerajaan ada masalah berat badan, sudah tentu tidak akan perform, tidak boleh membuat kerja dengan baik dan membawa pelbagai jenis penyakit,“ katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Kelantan.

Pekeliling berhubung perkara ini akan dikeluarkan minggu hadapan, dengan tempoh enam bulan diberikan kepada pegawai untuk menguruskan kesihatan mereka.

BMI maksimum yang ditetapkan SPRM ialah 27, selaras dengan amalan badan beruniform lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Azam Baki turut mengumumkan pelbagai program dalaman untuk mempromosikan penjagaan kesihatan, termasuk pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan di hospital kerajaan.

“Kalau ada masalah kesihatan cepatlah pergi uruskan, dapatkan rawatan dan ubah gaya hidup,“ tegasnya. – Bernama