Your Title

IPOH: Seorang pemandu jengkaut ditemukan maut selepas dipercayai dihempap bongkah batu seberat 10 tan di sebuah kawasan kuari dekat Simpang Pulai, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kejadian berlaku antara 12 hingga 1 tengah hari itu dipercayai ketika mangsa seorang lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik, Perak sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan batu di dalam kawasan kuari.

Beliau berkata ketika sedang bekerja, sebuah bongkah seberat 10 tan dari ketinggian 25 meter jatuh dan terus menghempap kokpit mangsa menyebabkan mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan selepas kerja-kerja mengeluarkan batu-batu kuari itu dijalankan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 6.45 petang,” katanya satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama