TAIPING: Seorang pekerja ladang kelapa sawit terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadapnya atas pertuduhan pindaan membunuh tanpa niat seorang tahanan di Penjara Taiping, enam tahun lepas.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun tanpa denda itu ke atas Mohd Nizam Shah Shahruddin, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304b kanun yang sama iaitu membunuh tanpa niat.
Hukuman bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 29 Ogos 2019 selepas disyaki menyebabkan kematian Chua Teng Wooi, 41, di Sel Tahanan Reman Penjara Taiping, di sini, pada 9.30 malam hari yang sama.
Noor Ruwena berkata keputusan itu diambil selepas meneliti fakta kes serta hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta keterangan oleh tertuduh dan saksi-saksi yang dipanggil berhubung kes tersebut.
Beliau berkata mahkamah mendapati Mohd Nizam berjaya menimbulkan keraguan munasabah bahawa dia tidak berniat untuk membunuh mangsa tetapi marah dengan perbuatannya dan hanya mahu memberi pengajaran.
Menurut Noor Ruwena, daripada keterangan tertuduh dan beberapa saksi lain, mangsa dipukul beramai-ramai sewaktu dalam sel tahanan reman itu kerana sering membuang najis merata-rata akibat mengalami cirit-birit.
Beliau berkata keraguan yang ditimbulkan antaranya sama ada perbuatan tertuduh dan tahanan lain yang menyebabkan kecederaan pada paru-paru mangsa yang menjadi punca kematian.
Ini kerana terdapat keterangan saksi bahawa kecederaan itu mungkin berlaku apabila mangsa jatuh di tandas penjara berikutan keadaan sel tahanan yang gelap.
“Kenyataan tertuduh tidak dicabar bahawa dia membangunkan penghuni yang lain untuk menolong si mati yang jatuh dalam tandas dan juga mengangkat si mati, tidak dicabar perakuan sumpah bahawa ada (orang) lain juga memukul si mati,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sally Chay Mei Ling manakala tertuduh diwakili Peguam Rajit Singh Tara Singh.