BALING: Seorang pekerja ladang warga Myanmar maut selepas terlibat dalam pergaduhan dengan rakan senegaranya di sebuah ladang tembikai di Kuala Ketil dekat sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Kyuk Sikay, 36, manakala rakannya yang mengalami kecederaan telah melarikan diri.

Beliau berkata pada malam kejadian, pengurus ladang yang tinggal di Pokok Sena telah menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang pekerja memaklumkan mengenai pergaduhan itu namun hanya didengari kira-kira 7 pagi sebelum membuat laporan polis setelah mengetahui ada pekerjanya yang terkorban.

“Siasatan lanjut mendapati lokasi kejadian adalah di kawasan tempat pembuangan sampah sawit di ladang terbabit dan tiada kamera pengawasan dipasang di situ.

“Terdapat dua khemah didirikan di ladang berkenaan bagi menempatkan 12 pekerja ladang dan mangsa yang maut dijumpai pada jarak 500 meter dari khemah dalam keadaan terbaring di dalam lubang tempat pembuangan sampah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat tujuh kesan tikaman di bahagian hadapan dada dan satu kesan tikaman di bahagian rusuk kiri yang dianggarkan satu hingga empat sentimeter.

“Siasatan lanjut pihak forensik mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang kecederaan luaran lain dan mangsa dianggarkan telah mati dalam tempoh 24 jam dan unit anjing pengesan telah bertindak melakukan pencarian (suspek),“ katanya.

Shamsudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita telah menggerakkan pasukan untuk mengesan dan menangkap suspek malah pemeriksaan turut dilakukan di kawasan sekitar dan klinik kesihatan berhampiran bagi mengesan suspek dan pekerja lain yang melarikan diri.

“Pengurus ladang terbabit turut ditahan kerana mengambil pekerja warga asing tanpa permit mengikut Akta Imigresen,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image