BALING: Seorang pelajar perempuan tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling, di sini maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi tadi, Siti Umairah Alias, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bandar menuju ke sekolah.

“Sebuah motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 47 tahun, yang berada di hadapan mangsa dipercayai telah mengubah haluan ke kanan jalan untuk membelok masuk ke simpang, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu bergesel pada bahagian sisi motosikal tersebut, sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa melambung dan jatuh di tengah-tengah jalan...akibat daripada kemalangan itu mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata lelaki warganegara Indonesia yang bekerja sebagai buruh binaan itu, hanya mengalami luka pada tangan dan kaki, manakala pemandu Perodua Myvi berusia 36 tahun, tidak mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut menahan warga Indonesia itu untuk siasatan lanjut,” katanya.