SURABAYA: Kebajikan pelajar Malaysia di Jawa Timur sentiasa menjadi keutamaan, kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin yang menegaskan hubungan antara rakyat kekal menjadi tunjang persahabatan erat antara kedua-dua negara jiran.
Beliau berkata demikian ketika bertemu lebih 100 pelajar Malaysia di Universiti Airlangga sempena Program Malaysia Madani dan Majlis Suai Kenal anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Surabaya pada Sabtu.
Dalam pertemuan itu, Syed Mohamad Hasrin menasihatkan pelajar agar sentiasa menjaga kesihatan, keselamatan serta memastikan dokumen perjalanan sah dan teratur.
“Sentiasa periksa tarikh luput pasport dan visa anda. Langkah mudah ini dapat mengelakkan pelbagai kesulitan sepanjang berada di Indonesia,” katanya.
Beliau turut menekankan komitmen kerajaan terhadap kebajikan pelajar melalui peranan aktif kedutaan bersama Education Malaysia Indonesia, sebuah unit di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Pertemuan itu juga memberi ruang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan beliau dan memahami fungsi kedutaan dengan lebih dekat.
Selain bertemu pelajar di Surabaya, Syed Mohamad Hasrin turut melawat Kediri, kira-kira 124 kilometer dari bandar itu, untuk bertemu 30 pelajar Malaysia yang menuntut di tiga pesantren (pondok pengajian Islam berasrama).
Pertemuan santai sambil menikmati makan malam itu disifatkan pelajar sebagai pengalaman bermakna.
“Kehadiran pihak kedutaan membuatkan kami berasa dihargai, seolah-olah bersama keluarga sendiri,” kata Muhammad Ehsan Mohd Suib, 23, dari Selangor, yang menuntut di Pondok Pesantren Lirboyo sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, lawatan itu memberi semangat baharu untuk terus fokus terhadap pengajian di perantauan.
Dalam kedua-dua pertemuan itu, Duta Besar menegaskan hubungan Malaysia-Indonesia kukuh dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, pelancongan serta hubungan rapat di peringkat kepimpinan negara.
“Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan utama pelajar Indonesia kerana kualiti institusi pengajian tinggi yang diiktiraf antarabangsa. Ketika ini, seramai 11,445 pelajar Indonesia sedang menuntut di Malaysia,” jelas beliau.
Pada masa sama, terdapat 1,175 pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Indonesia termasuk dalam bidang pengajian Islam di Pondok Pesantren Lirboyo serta pesantren lain di seluruh negara itu.
Surabaya, ibu kota Jawa Timur yang dikenali sebagai “Kota Pahlawan”, merupakan bandar metropolitan kedua terbesar di Indonesia serta menjadi tumpuan utama pelajar asing termasuk dari Malaysia- Bernama