• 2024-06-02 05:07 PM

JERTIH: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai di Kampung Amer di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Mohamad berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu mangsa Nur Fatnin Insyirah Mohd Nazri, 21, yang beralamat di Wakaf Tengah, Kuala Terengganu sempat diselamatkan penduduk sekitar.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan untuk mengambil rakannya sebelum meneruskan perjalanan ke Arau.

“Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian kereta Perodua Myvi dipandu mangsa telah terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam sungai.

“Dengan bantuan penduduk sekitar, pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta dan dihantar ke Hospital Besut oleh ambulans APM,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rozak berkata mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan tidak melibatkan pihak atau kenderaan lain.