KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) dapat membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengatasi masalah mengekalkan pekerja berbakat dengan membolehkan syarikat terlibat memberi gaji yang lebih ‘bermaruah’.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Azirruan Arifin berkata PMKS buat masa ini mempunyai masalah kekurangan pekerja kerana tidak mampu menyediakan gaji yang tinggi, terutamanya buat para siswazah.

“Kebiasannya selepas tamat pengajian, pekerja baharu akan bekerja dengan PKMS dahulu untuk mencari kemahiran dan kemudian berhijrah ke syarikat yang lebih besar kerana PMKS tidak dapat bertanding dengan syarikat besar dalam soal kadar gaji.

“Jadi dasar ini dilaksanakan agar kerajaan dapat membantu PMKS mengekalkan bakat dengan gaji yang lebih bermaruah,“ katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Azirruan berkata perkara itu dicapai melalui pemberian insentif oleh kerajaan kepada majikan yang menyertai DGP selama 12 bulan berjumlah RM200 sebulan bagi pekerja baharu dan RM300 sebulan buat pekerja yang sudah melebihi setahun dalam perkhidmatan.

Bagi kedua-dua golongan ini, katanya majikan harus mengikut garis panduan gaji permulaan yang diberikan selain memberi kenaikan gaji berpandukan garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata pelaksanaan DGP juga dapat memastikan kenaikan gaji dilakukan seiring dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti seseorang pekerja.

“Apa yang berlaku dalam pasaran buruh aktif di Malaysia, ialah kenaikan gaji tidak mencerminkan peningkatan produktiviti dan kemahiran. Ini yang perlu kita ubah. Sebab itu dalam DGP, terdapat syarat buat majikan PMKS memastikan pekerja diberikan latihan tidak kurang daripada 21 jam setahun sebelum pembayaran insentif dilakukan,“ katanya.

Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP bermula Jun lepas termasuk pembayaran insentif kepada 1,000 majikan, dan pembayaran insentif kepada majikan itu dijangka dilakukan pada Oktober depan apabila majikan mengemukakan tuntutan yang memenuhi syarat ditetapkan.