• 2025-09-27 05:49 PM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah insiatif Budi MADANI RON95 pada hari pertama yang melibatkan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis berjalan lancar di seluruh negara.

Beberapa anggota pasukan keselamatan yang ditemui memaklumkan proses mengisi minyak menggunakan dokumen pengenalan diri mereka mudah dan pantas.

“Memang mudah dan cepat, sentuh kad debit bank dan masukkan kad pengenalan di terminal pembayaran di pam minyak sahaja, terus boleh isi minyak pada harga RM1.99 seliter,” kata anggota tentera Mohd Fazli Ibrahim.

Golongan berkenaan merupakan peringkat pertama menikmati subsidi petrol itu selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September.

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 September.

Warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif akan menyusul pada 30 September.

Penolong Ketua Balai Polis Jelutong Sarjan Mejar Herman Deng berkata beliau hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan di terminal pembayaran bagi melengkapkan transaksi.

“Bagi kami yang sering mengejar tugasan, kemudahan seperti ini amat diperlukan,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying mengesahkan Kementerian Kewangan tidak menerima sebarang aduan teknikal berhubung pelaksanaan subsidi petrol RON95 di stesen minyak seluruh negara.

Di Johor, Ketua Polis negeri Datuk Ab Rahaman Arsad berkata sebanyak 9,534 warga polis di negeri itu layak menerima manfaat inisiatif berkenaan.

Beliau berkata proses BUDI95 adalah sangat mudah dan cepat manakala petugas stesen minyak dilihat bersedia membantu memberikan penerangan.

“Prosesnya mudah dan tidak membebankan, saya percaya petugas di stesen minyak juga telah bersedia apabila manfaat BUDI95 diperluas pada 30 September ini,” katanya.

Mejar A. Aaron Steve Abraham menyifatkan pelaksanaan subsidi bersasar itu sebagai bentuk penghargaan terhadap semua warga Malaysia dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Pegawai tentera itu berkata penggunaan MyKad sebagai syarat perlu bagi menjamin subsidi petrol disalurkan kepada rakyat tempatan.

“Ini inisiatif yang baik dengan tumpuan kepada keperluan asas iaitu bahan api,” katanya.

Lt Muhammad Afiq Abu Bakar pula berkata inisiatif itu bertepatan dan memenuhi hasrat rakyat sekali gus membolehkan mereka merancang serta melakukan penjimatan.

Pemberian subsidi seumpama itu dapat mengekalkan eksklusif “hadiah” untuk warganegara Malaysia yang tidak boleh dinikmati warga asing.

Di Perlis, Timbalan Ketua Polis negeri SAC Mohd Ismail Ibrahim berkata sebanyak 1,648 warga PDRM di negeri itu menerima manfaat secara langsung.

“Usaha ini bukan sahaja membantu dari sudut ekonomi isi rumah, tetapi juga meningkatkan semangat dan motivasi warga PDRM,” katanya.

Di Terengganu, seorang anggota polis Mohd Hizwan Jahaya berkata pemberian subsidi sedemikian membantu rakyat Malaysia dalam melaksanakan tugas harian menerusi penjimatan kos petrol.

Pegawai polis DSP Norzaini Mat Noor menyifatkan inisiatif itu sebagai penghargaan terhadap rakyat Malaysia dan khidmat anggota penguat kuasa.

Di Sarawak, Koperal Fendy Mutang berkata inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia bagi mengurangkan kos perbelanjaan harian.

Lans Koperal Shahril Anuar pula berkata inisiatif BUDI95 sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan rakyat melalui pendekatan subsidi bersasar.

Inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat malah dapat mengurangkan ketirisan subsidi yang selama ini ditanggung kerajaan. – Bernama