KUALA LUMPUR: Perolehan pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) adalah sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan kapasiti armada yang bersifat jangka panjang serta berfasa, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau menegaskan pembelian itu bukan keputusan tergesa-gesa atau dipengaruhi tekanan tarif, tetapi berlandaskan keperluan menggantikan pesawat B737-800 yang telah beroperasi selama 14 tahun bagi memastikan keselamatan dan kemampanan operasi.
“Pada 2016, MAG membuat tempahan awal 25 pesawat Boeing 737-8 MAX. Sejak November 2023, 13 pesawat telah diterima, dan selebihnya akan dihantar secara berperingkat hingga 2027,“ jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul turut memaklumkan MAG memuktamadkan tempahan tambahan 30 pesawat Boeing 737 MAX pada 20 Mac 2025, dengan penghantaran dijangka bermula tahun ini hingga 2035.
“Terdapat 30 pesawat lagi dalam kategori perancangan yang akan diputuskan berdasarkan strategi pertumbuhan MAG pada masa depan,“ tambahnya.
Beliau juga menekankan nilai perolehan merangkumi bukan sahaja harga pesawat tetapi juga kos enjin, latihan, penyelenggaraan, dan sokongan jangka panjang.
Industri aeroangkasa tempatan turut mendapat manfaat melalui kerjasama dengan Boeing, termasuk syarikat seperti Boeing Composites Malaysia (BCM) di Kedah.
“CTRM, UPECA, SME Aerospace, dan Plexus antara syarikat Malaysia yang membekalkan komponen penting kepada Boeing dan Airbus. Industri ini menyumbang RM25.1 bilion pada 2024 dan menyokong 30,000 pekerjaan,“ ujarnya.
Dengan pemulihan sektor pelancongan melebihi paras prapandemik dan unjuran pertumbuhan trafik penumpang global sebanyak 4.7 peratus setahun, pelaburan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memanfaatkan potensi kedua-dua industri. – Bernama